Editorial

Lelaki Disembelih, Perut Ditoreh Dan Terburai



Bukit Mertajam: Mayat seorang lelaki mangsa bunuh ditemui dalam keadaan mengerikan dengan kesan sembelih di leher, kelar di rusuk kanan serta perut ditoreh dari dada ke pusat menyebabkan isi perutnya terburai di kawasan rumah pam air di Jalan Permatang Nibong, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian pada jam 7.40 malam itu, anggota polis yang bertugas di Balai Polis Bukit Tengah menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan mayat berkenaan menyebabkan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dan Unit Anjing Pengesan (K9) dikejarkan ke tempat kejadian. 
Sumber berkata, mayat ditemui dalam keadaan telentang dan masih lengkap berpakaian serta terdapat kesan tatu bercorak naga di dadanya dan pemeriksaan mendapati tiada kesan suntikan BCG di lengan serta tiada dokumen pengenalan diri dijumpai pada mayat dipercayai warga asing itu. 

"Keadaan mayat itu cukup mengerikan apabila terdapat kesan sembelih di leher, kesan kelar di rusuk kanan, perut terburai selain kesan tikaman pada telinga di sebelah kanan serta kesan hentakan objek tumpul di sebelah kanan kepala.

"Kejadian bunuh dipercayai berlaku di tempat lain sebelum mayat itu dibuang di tempat ia dijumpai berdasarkan kesan darah yang sudah kering, selain tiada kesan titisan darah di tempat kejadian dan kesan pergelutan," katanya.



Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. HM

MH370: MAS Sedia Bawa Keluarga Ke Australia



SEPANG - Malaysia Airlines (MAS) bersedia membawa keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370 ke Australia jika dua objek yang dikesan imej satelit di selatan Lautan Hindi disahkan sebagai milik pesawat yang hilang itu.
    
Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, kepentingan keluarga 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu sentiasa menjadi keutamaan syarikat penerbangan nasional itu.
    
“Kami memang menjaga waris (para penumpang pesawat ini) dan seandainya  pesawat dikesan berada berdekatan Australia, sudah pasti kami akan menguruskan usaha membawa waris ke sana," kata beliau.
    
Beliau berkata demikian dalam taklimat media harian mengenai perkembangan  terkini berhubung operasi mencari dan menyelamat pesawat itu di sini, yang turut dihadiri Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Anifah Aman dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman.

Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata di Canberra pada Khamis bahawa imej satelit menunjukkan dua objek yang boleh dikaitkan dengan pesawat Malaysia itu yang hilang pada 8 Mac.
    
Ahmad Jauhari berkata, MAS komited untuk memberikan maklumat yang tepat dan terkini, sehingga dua hingga tiga kali sehari, kepada semua keluarga penumpang.
 
Sementara itu, Hishammuddin memberi jaminan bahawa semua keluarga adalah yang pertama akan dimaklumkan sekiranya ada pengesahan mengenai imej-imej satelit atau sebarang perkembangan terkini dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat itu, yang masuk hari ke-13 hari ini.
    
"Saya rasa berita tergempar yang boleh dipercayai berhubung imej satelit itu hari ini pasti berlegar dalam pemikiran keluarga.
    
"Saya rasa itulah yang akan menjadi perkara pertama yang akan kami sampaikan kepada keluarga apabila maklumat itu diterima," katanya sambil mezahirkan rasa simpatinya yang mendalam kepada keluarga berkenaan.
    
Beliau menyatakan bukan mudah untuk mengendalikan keluarga-keluarga yang  dalam keadaan amat sedih, dan pihak berkuasa negara kini mempelajari cara menangani situasi itu daripada Agensi Keselamatan Penerbangan Perancis (BEA).

"Ini sangat sukar (untuk berurusan dengan pihak keluarga). Saya telah berbincang dengan pasukan Perancis yang perlu berurusan dengan keluarga para penumpang Air France 447 selama dua tahun selepas nahas itu (pada 2009)," kata beliau.
    
Pasukan BEA tiba pada Isnin untuk membantu pasukan penyiasatan antarabangsa yang diketuai Malaysia mencari pesawat itu, dengan tumpuan carian di dasar laut.

Pada 2009, pasukan BEA terlibat dalam usaha mengesan Air France 447 yang terhempas dan mengorbankan kesemua 228 orang yang menaiki pesawat itu, dan kotak hitam pesawat itu hanya ditemui dua tahun selepas tragedi itu.
   
Hishammuddin berkata penyampaian maklumat yang tepat dan terkini kepada keluarga berkenaan juga menjadi keutamaan mereka, hingga mendorong kerajaan menghantar pasukan peringkat tinggi ke Beijing, China petang tadi.
    
"Wakil-wakil kerajaan Malaysia sudah pun menemui keluarga berkenaan yang diketuai utusan khas Perdana Menteri ke China (Tan Sri Ong Ka
Ting).
 
"Pegawai Kedutaan China juga membantu dengan mengetuai taklimat untuk keluarga-keluarga dari China yang berada di Kuala Lumpur," kata beliau.
    
Pesawat 777-200ER itu, yang menuju ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 12.41 tengah malam 8 Mac. Ia sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Pesawat itu dicari di Laut China Selatan namun kawasan pencarian diperluaskan dengan merangkumi sebahagian besar kawasan barat Malaysia, termasuk Lautan Hindi, apabila pesawat itu dipercayai melencong daripada laluan asal penerbangannya setelah seseorang secara sengaja mematikan sistem komunikasi pesawat, dan pesawat itu terbang untuk beberapa jam selepas itu.
    
Pencarian kini ditumpukan ke dua koridor - koridor utara yang merangkumi   Kazakhstan, Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridor selatan yang merangkumi Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi. - Bernama

Cikgu Terkejut Anak Murid Pramugara MH370


Shah Alam: Seorang guru terkejut dan tidak menyangka seorang daripada pramugara pesawat penerbangan MH370 yang hilang sejak 12 hari lalu adalah bekas muridnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.
Guru Sains terbabit, Mohd Azhar Md Salleh, 55, berkata, dia sememangnya tidak mengecam wajah muridnya itu, Tan Size Hiang, 46, berikutan mangsa lebih dikenali sebagai David Tan ketika bersekolah dahulu.
“Saya hanya mengetahui identitinya hari ini (semalam) selepas dimaklumkan rakan selain membaca akhbar berhubungi isu kehilangan pesawa itu.
“Tan adalah murid yang aktif dalam sukan bola sepak ketika belajar di sekolah berkenaan.
Malah, dia sebahagian daripada kumpulan pelajar pertama yang menyertai pasukan pengakap di sekolah itu,” katanya.
Menurutnya, mangsa sangat aktif dalam kegiatan di sekolah selain pernah menjadi ketua patrol dalam untuk melatih anggota pengakap sekolah.
Kali terakhir dia bertemu Tan di sebuah restoran di Taman Tun Dr Ismail, tiga tahun lalu.
“Ketika itu Tan menegur saya terlebih dahulu.
Walaupun sudah lama tidak bertemu, namun David masih individu yang sama.
Dia seorang yang sangat peramah dan berbudi bahasa,” katanya.
Mohd Azhar yang akan bersara lima tahun lagi berharap dapat bertemu Tan dan semua bekas pengakap sekolah itu untuk meraikan majlis persaraannya kelak.
Difahamkan, seorang lagi anak kapal Wan Swaid Wan Ismail turut bersekolah di sekolah sama, namun Mohd Azhar tidak mengingatinya. – HARIAN METRO
Scroll to top